Tiga laluan utama di Gua Musang dijangka sesak Jumaat ini - Polis
Bernama
April 11, 2024 16:15 MYT
April 11, 2024 16:15 MYT
GUA MUSANG: Aliran lalu-lintas melibatkan tiga laluan utama di Gua Musang dijangka kembali sesak dengan pertambahan bilangan kenderaan berikutan orang ramai akan pulang ke kediaman masing-masing selepas berakhir cuti musim perayaan Aidilfitri, Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata tiga laluan itu adalah Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Jeli-Gua Musang.
"Kesemua pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang sentiasa berada dalam mod bersedia mengawal lalu-lintas sepanjang tempoh tersebut.
"Rata-rata anak perantau dijangka pulang ke rumah masing-masing menggunakan laluan terbabit pada Syawal ketiga (12 April). Oleh itu, anggota bertugas akan menjaga dan mengawal lalu-lintas supaya pengguna tidak tersekat terlalu lama di setiap laluan," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Puteh, di sini hari ini.
Sementera itu Sik berkata sebanyak 49 kes kemalangan direkodkan di jajahan itu termasuk dua kes kemalangan maut yang berlaku sejak 5 hingga 8 April lepas.
"Kebanyakan kemalangan berlaku berikutan terlampau banyak kenderaan menggunakan laluan sama dalam satu masa dan pemandu mengekori terlalu rapat dengan kenderaan lain sehingga menyebabkan perlanggaran berlaku pada bahagian belakang kenderaan.
"Saya nasihatkan supaya pengguna jalan raya sentiasa bersabar dan bertolak ansur bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
-- BERNAMA