Tiga lagi termasuk suspek tetak pesara Mardi di Bangsar diberkas

Astro Awani
Disember 1, 2020 15:57 MYT
Huzir berkata etiga-ketiga suspek diberkas dalam tiga siri serbuan yang dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Bukit Aman.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun rumah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong, Ahad lalu ditangkap awal pagi tadi.
Salah seorang suspek dipercayai adalah individu yang bertindak menetak mangsa Dr Wan Hassan hingga maut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata ketiga-ketiga suspek diberkas dalam tiga siri serbuan yang dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Bukit Aman.
Tangkapan pertama pada jam 3.30 pagi di Jalan Genting Klang membabitkan seorang lelaki tempatan.
Dia dipercayai membantu suspek utama menyorok di Semenyih.
Tangkapan kedua pada jam 4.30 pagi di Air Panas melibatkan seorang lelaki tempatan.
Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek membawa polis ke lokasi persembunyian suspek utama di Jalan Rinching Semenyih.
Serbuan dilakukan jam 5 pagi itu menemui seorang lelaki berusia 23 tahun yang menetap di Air Panas.
Dia didapati memiliki dua rekod jenayah dan salah guna dadah.
Ketiga-tiga suspek yang ditahan membuat pengakuan.
Suspek utama mengaku menetak pesara Mardi itu sehingga maut.
“Hasil siasatan polis mendapati empat orang terlibat di dalam kejadian samun di setapak. Dua masuk ke dalam rumah dan dua lagi di luar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Susulan itu, polis masih memburu seorang lagi suspek.
Jelasnya tangkapan sebelum ini didapati terlibat dalam beberapa kes samun yang lain di ibu negara.
Polis percaya dengan penahanan 13 suspek ini berjaya menyelesaikan kes samun bunuh di Bangsar dan Setapak.
BACA: Pesara Mardi maut, isteri cedera ditetak dengan parang
Ahad lalu, Dr Wan Hassan, 71, maut ditetak perompak di rumahnya di Bukit Bandaraya di ibu negara.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, rumah dihuni mangsa dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.
Susulan itu, polis menahan 10 individu dalam beberapa siri serbuan semalam selepas mereka menyamun rumah kedua di Taman Tiara tTtiwangsa.
Suspek berjaya ditahan menerusi pengecaman wajah yang dilakukan isteri mangsa.
Dompet Allahyarham turut ditemui di lokasi samun kedua.
Kesemua suspek berusia 20 dan 29 tahun direman 7 hari hingga 6 Disember ini.
#Bukit Aman #Semenyih #Kuala Lumpur #Jalan Genting Klang #Malaysia #dr wan hassan wan embong #Pengarah Mardi #pesara mardi #tetak samun #Bangsar #bunuh Bangsar #Huzir Mohamed #Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
;