Tiga lagi sindiket edar pil kuda tumpas

Astro Awani
Mac 2, 2016 10:08 MYT
Sebahagian daripada rampasan polis berupa pelbagai jenis dadah larangan dan wang tunai selain senjata api. - Foto Astro AWANI
Polis Kelantan berjaya menumpaksan tiga lagi sindiket pengedaran pil kuda di Kota Bharu dan Pasir Mas dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM300,000.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim memaklumkan, serbuan pertama dan kedua dilakukan pada 28 Februari lalu, menyaksikan lima individu ditahan termasuk sepasang suami isteri.
Dalam serbuan di Kampung Kibang Badak, Pasir Mas, tiga lelaki Melayu berusia dalam lingkuangan 28 hingga 31 tahun yang dikenali sebagai Geng Fuad berjaya ditahan.
Polis turut merampas 1,800 biji pil kuda bernilai lebih RM36,000 serta dua pucuk pistol semi automatik, kelopak peluru dan 17 butir peluru.
Jelas Mazlan, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 penalti lebih berat.
Sementara, dalam serbuan kedua, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Rantau Panjang dan merampas 2,062 pil kuda bernilai lebih RM41,000.
Dalam serbuan itu, sepasang suami isteri warga Thailand berusia 33 dan 29 tahun turut ditahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mebawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Kes ketiga pula membabitkan seorang lelaki dari Geng Baung dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM207,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa semalam.
"Daripada tiga kes ini, kita telah buat rampasan iaitu keseluruhannya RM284,000 manakala sitaan RM89,000 dan semuanya lebih RM300,000.
"Kita mempergiatkan operasi kita di sempadan dan kita dapati mereka ini menyeludup dadah dari pangkalan haram dan saya telah tubuhkan task force di peringkat daerah untuk awasi empat daerah termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli,'' katanya dalam sidang media yang diadakan disini, hari ini.
#Datuk Mazlan Lazim #sindiket pengedaran pil kuda