Tiga lagi sekolah dalam hospital dibuka tahun depan - Kamalanathan

Bernama
November 21, 2014 18:33 MYT
KAMALANATHAN: SDH merupakan satu-satunya program seumpama itu yang dilaksanakan di rantau ini dan menjadi contoh kepada negara luar. -Gambar fail
Tiga lagi program Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang membolehkan murid-murid yang sedang menjalani rawatan di hospital untuk meneruskan pelajaran akan dilaksanakan di Tawau, Kuala Terengganu dan Kangar, tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P. Kamalanathan berkata usaha ini dilakukan bagi menampung permintaan yang meningkat terhadap SDH.
"Kalau ada lebih banyak syarikat swasta yang ingin tampil untuk beri sokongan, lebih banyak lagi kita dapat tambah sekolah dalam hospital ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Seminar Sekolah Dalam Hospital kali kedua di sini, hari ini.
Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang juga penaung program SDH.
Kamalanathan berkata SDH merupakan satu-satunya program seumpama itu yang dilaksanakan di rantau ini dan menjadi contoh kepada negara luar.
Terdahulu dalam ucapannya, Kamalanathan berkata sejak dilancarkan pada 2011, sebanyak 56,528 murid yang menjalani rawatan di hospital telah menyertai program itu.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan kerajaan sentiasa memberi komitmen tinggi terhadap usaha menjaga kebajikan murid yang dirawat di hospital untuk meneruskan pembelajaran ketika menjalani rawatan.
Sementara itu, empat resolusi dipersetujui pada seminar tiga hari itu, antaranya meminta Kementerian Pendidikan memberi keutamaan dalam membangunkan pusat kecemerlangan latihan guru khusus untuk program SDH, selain memantapkan latihan guru SDH dalam aspek didik hibur melalui pendekatan 'gamification'.
Dokumen mengenai resolusi berkenaan disampaikan kepada Noorainee yang kemudian menyerahkannya kepada Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof untuk tindakan susulan.
#Kangar #Kuala Terengganu #Sekolah Dalam Hospital (SDH) #Tawau
;