Tiga lagi rakyat Filipina didakwa insiden Lahad Datu
Bernama
Mei 3, 2013 22:25 MYT
Mei 3, 2013 22:25 MYT
Tiga lagi rakyat Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu dan Beluran di Sabah, masing-masing atas dua pertuduhan berhubung insiden pencerobohan Lahad Datu.
Kedua-dua mahkamah mengadakan sidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah di Lahad Datu dan Beluran.
Mereka didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan menganggotai kumpulan pengganas mengikut Seksyen 130KA kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Dani Ismail dan Saidili Jaharul didakwa di Lahad Datu manakala Pabblo Alie di Beluran.
Dani dan Saidili didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 9 Feb dan 9 April 2013 manakala Pabblo di Kampung Muanad, Beluran.