Tiga lagi peruntukan kementerian lulus di Peringkat Jawatankuasa, dua lagi esok
Hasimi Muhamad
Disember 14, 2020 16:51 MYT
Disember 14, 2020 16:51 MYT
KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Dalam Negeri bagi Belanjawan 2021 lulus di peringkat jawatankuasa hari ini dengan hanya satu daripadanya melalui proses undi belah bahagian.
Kementerian yang melalui proses tersebut ialah Kementerian Wilayah Persekutuan apabila lebih 15 Ahli Parlimen bangun meminta undi belah bahagian dibuat selepas undian mengikut suara.
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 bagi kementerian itu lulus di peringkat Jawatankuasa selepas 110 Ahli Parlimen menyokong, tujuh tidak menyokong; 31 tidak bersetuju manakala 72 tidak hadir.
Kelulusan tiga kementerian berkenaan menjadikan sebanyak 25 peruntukan kementerian lulus di Peringkat Jawatankuasa, setakat Isnin.
Sebanyak dua lagi kementerian masing-masing Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dijadual melakukan perbahasan dan penggulungan RUU Perbekalan 2021 Peringkat Jawatankuasa, pada Selasa.
RUU Perbekalan 2021 untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka esok.