Tiga lagi mengaku bersalah dalam kes pencerobohan Lahad Datu

Bernama
Februari 24, 2016 17:28 MYT
Rumah penduduk kampung di Tanduo masih dikekalkan biarpun kawasan itu dijadikan Kem Tentera pada 15 Mac 2013 di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom). - Foto Bernama
Tiga orang lagi mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah kira-kira tiga tahun lepas.
Warga Filipina, Aiman Radie, 20, mengaku bersalah terhadap tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas, kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup serta denda.
Dua lagi tertuduh, Mohamad Ali Ahmad dan Pabblo Alie, yang merupakan penduduk tempatan, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan.
Mohamad Ali dituduh mendapatkan atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau denda dan sebarang harta yang digunakannya atau dicadang digunakannya berhubung kesalahan itu, akan dirampas.
Pabblo pula berdepan dengan hukuman penjara hingga 30 tahun serta denda kerana mendapatkan harta untuk manfaat sebuah kumpulan pengganas.
Hakim Stephen Chung menangguhkan hukuman pada akhir perbicaraan pembelaan yang melibatkan 14 tertuduh.
Mohon hukuman ringan
Ketika memohon hukuman ringan bagi anak guamnya Aiman, peguam Datuk N. Sivananthan berkata, tidak terdapat bukti anak guamnya (Aiman) diminta datang ke Sabah untuk berperang dan dijanjikan diberi pekerjaan sekiranya dia berbuat demikian.
"Pengakuannya begitu jelas bahawa menyertai suatu peperangan tidak pernah disebut kepada tertuduh ke-14 (Aiman) dan kalau perkara itu disebut, dia tidak akan datang ke Kampung Tanduo," kata beliau.
Ketika memohon hukuman terhadap Mohamad Ali, 41, diringankan, peguam yang mewakilinya, Ram Singh meminta mahkamah tidak menghukum anak guamnya kerana membekalkan makanan kepada penceroboh bersenjata.
Katanya, keterangan semasa perbicaraan pihak pendakwaan mendedahkan bahawa pasukan keselamatan juga memberi bekalan makanan kepada kumpulan bersenjata terbabit ketika rundingan diadakan antara pasukan keselamatan dengan penceroboh pada 14-16 Feb 2013 di kampung itu.
"Saya sifatkan perbuatan (pasukan keselamatan) itu sebagai 'tidur bersama musuh' dan perbuatan demikian memang salah serta tiada alasan bagi mereka untuk melakukannya.
"Anak guam saya membekalkan makanan dan barang runcit kepada kumpulan itu hanya sekali sahaja iaitu sebelum berlakunya pertempuran antara penceroboh dengan pasukan keselamatan," katanya.
Faktor usia
Peguam Putli Noor Asikan Datu Gulam pula ketika memohon hukuman terhadap Pabblo diringankan, berkata anak guamnya, yang akan mencapai usia 66 tahun Rabu depan, berketurunan Suluk dan oleh itu adalah suatu perkara biasa baginya untuk berbual dengan orang lain tentang penceroboh terbabit, yang juga berbangsa Suluk.
Kata peguam itu, ketika anak guamnya ditangkap pada 10 April 2013, tidak wujud lagi tindakan keganasan di Lahad Datu.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam apabila menjatuhi hukuman kerana penceroboh terbabit menjejaskan dan membelakangkan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.
Beliau berkata rakyat Malaysia yang didakwa dalam kes itu sepatutnya sedar tentang tanggungjawab mereka untuk tidak bersubahat dengan kumpulan bersenjata yang menceroboh Malaysia, yang merupakan tanah air mereka.
"Tertuduh sepatutnya meletakkan kedaulatan dan kepentingan negara ini melebihi segala-galanya," kata beliau.
Dua lagi tertuduh, seorang warga Filipina dan seorang rakyat Malaysia, pada mulanya dijangka mengaku bersalah hari ini, tetapi mengubah pendirian itu dan akan membela diri.
Perbicaran pembelaan diri akan bersambung esok di Jabatan Penjara Sabah, dengan 14 tertuduh, membela diri.
Sesetengah daripada mereka menghadapi satu hingga beberapa tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Sebahagian daripada mereka menghadapi tuduhan secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menganggotai sebuah kumpulan pengganas atau berusaha mendapatkan atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.
#kampung tanduo #pencerobohan Lahad Datu #Suluk #tiga mengaku bersalah
;