Tiga lagi mayat kru kapal korek ditemukan

Astro Awani
Mei 24, 2015 11:02 MYT
Ketiga-tiga mayat ditemukan selepas pasukan penyelam KD Handalan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya membuka pintu kapal berkenaan. -Gambar fail
Tiga lagi mayat kru kapal korek yang karam dan terbalik di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Rabu lalu ditemukan jam 8 pagi ini.
Ketiga-tiga mayat ditemukan selepas pasukan penyelam KD Handalan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya membuka pintu kapal berkenaan.
Jurucakap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) berkata ketiga-tiga mayat berkenaan dijumpai berhampiran pintu kapal.
Namun begitu, mayat masih belum dapat dinaikkan berikutan anggota mencari dan menyelamat (SAR) menghadapi sedikit kesukaran.
Pada Rabu, sebuah kapal korek Ocean Line 208 terbalik dipukul ombak tahap 3 yang menyebabkan 14 kru kapal hilang termasuk seorang rakyat tempatan.
Dalam pada itu, seorang warganegara China berjaya diselamatkan kapal korek lain yang berada berhampiran lokasi kejadian pada ketika itu.
Mayat pertama kru kapal berjaya ditemui jam 3.45 petang pada Jumaat.
#KD Handalan #kru kapal korek #Tanjung Sedili #TLDM
;