Tiga lagi kakitangan TNB direman bantu siasatan SPRM

Muhafandi Muhamad
Ogos 21, 2016 21:39 MYT
Ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu kira-kira jam 12.45 tengahari dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tiga lagi kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan termasuk seorang jurutera ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram.
Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri mengeluarkan perintah reman ke atas semua suspek yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu sehingga 28 Ogos depan.
Ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu kira-kira jam 12.45 tengahari dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Seorang suspek yang berjawatan jurutera di Tanah Merah sementara dua juruteknik TNB Kota Bharu itu ditahan pada petang Sabtu ketika tampil memberi keterangan.
Kes disiasat mengikut seksyen 17(a) dan 23 Akta SPRM 2009.
Tangkapan dilakukan susulan penahanan pengurus cawangan TNB Kelantan yang disyaki terlibat dalam kes rasuah.
SPRM sebelum ini juga telah bertindak membeku akaun simpanan lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam termasuk dua daripada mereka berpangkat Datuk dan Datuk Seri.
#ditahan reman #Rasuah #TNB #TNB Kelantan
;