Tiga kru warga warga asing ditahan di perairan Pulau Terong
Abd Razak Mohd Ali
Februari 8, 2022 14:32 MYT
Februari 8, 2022 14:32 MYT
KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan kelas C bersama tiga kru warga Thailand di kedudukan 12.8 batu nautika barat daya Pulau Terong, dekat sini, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, mereka ditahan kira-kira jam 1 petang ketika bot Maritim Malaysia membuat rondaan rutin kerana bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menemukan tiga kru termasuk tekong berada di atas bot terbabit dan kesemua mereka merupakan warga Thailand berusia lingkungan 40 hingga 51 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, dokumen pengenalan diri yang dikemukakan oleh kesemua suspek meragukan keabsahannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Sharenliza berkata, sebanyak 100 kilogram hasil ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan ke atas bot dilakukan dan kesemua suspek, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.