Tiga kru nelayan warga Myanmar ditahan atas pelbagai kesalahan

Aida Aziz
Disember 27, 2022 10:30 MYT
Bot berkenaan memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya. - Foto APMM Perak
KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga kru nelayan warga Myanmar di kedudukan 10.7 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, bot nelayan itu dikesan oleh pasukan Bot Peronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau dan dirapati untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan awal menemukan tiga kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berumur antara 29 hingga 35 tahun berada di atas bot.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Semasa pemeriksaan dilakukan sebanyak 120 kilogram (kg) ikan campur dan 150 kg ikan baja turut ditemukan.
"Kesemua kru nelayan, bot, hasil laut dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing.
Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.
Sebarang salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk tindakan segera.
#APMM #nelayan #warga asing #dokumen pengenalan diri
;