Tiga kes kematian, 17 kes hilang di laut hingga September - APMM Kemaman

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
November 27, 2021 00:57 MYT
Sebanyak tiga kes kematian serta 17 kes melibatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di laut direkodkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini. -Astro AWANI
KEMAMAN: Sebanyak tiga kes kematian serta 17 kes melibatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di laut direkodkan di daerah ini hingga September.
Justeru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggesa agar komuniti nelayan tidak mengambil risiko turun ke laut ketika ombak besar serta angin kencang.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, pihaknya akan bertindak tegas terhadap nelayan yang ingkar serta mengabaikan aspek keselamatan.
"Maritim Malaysia masih mengambil pendekatan mendidik lagi buat masa ini. Kita sentiasa memberi penerangan dan menasihati, khususnya komuniti maritim dan dalam kalangan nelayan.
"Ia bagi memastikan mereka sentiasa lengkap dengan peralatan keselamatan semasa berada di laut, khususnya penggunaan jaket keselamatan dan penggunaan boya keselamatan serta pemadam api di atas bot masing-masing," kata Rashidilhadi.
Rashidilhadi berkata APMM akan sentiasa memantau setiap kegiatan nelayan ketika di laut bagi memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Beliau turut berharap hubungan dengan komuniti nelayan dapat dieratkan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.
#Rashidilhadi Abd Rashid #APMM #mangsa hilang di laut #komuniti nelayan