Tiga kereta Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham musnah dalam kebakaran
Abd Razak Mohd Ali
Januari 10, 2024 09:00 MYT
Januari 10, 2024 09:00 MYT
MANJUNG: Tiga buah kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham musnah dalam kebakaran di kediamannya di Lorong Semarak Jaya, Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini, awal pagi Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataanya berkata, kenderaan yang terbabit ialah Mercedes, Honda CRV dan Toyota Hilux.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati tiga buah kereta terbakar di kawasan parkir kenderaan di rumah berkenaan.
Turut terbakar ialah siling dan bumbung garaj kereta.
Bagaimanapun, insiden itu tidak membabitkan mangsa atau sebarang kecederaan.
Sabarodzi berkata, anggota bomba kemudiannya menggunakan konsep RECEO dan melakukan kerja pemadaman dengan satu aliran 100 kaki.
Selain itu pasukan turut menggunakan satu aliran hose reel dari pam pili bomba bagi memastikan api padam sepenuhnya dan tiada lagi bahaya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Tarmizi Abdul Ghani itu tamat pada jam 4.44 pagi.
Sementara itu, Koo Ham dijangka mengadakan sidang media di Pusat Khidmat Ayer Tawar jam 12.30 tengah hari ini
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi media berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadia itu.