Tiga kenderaan musnah dalam kebakaran awal pagi

Abd Razak Mohd Ali
Mei 5, 2022 08:20 MYT
Keadaan kereta dan motosikal yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. - Foto JBPM
PARIT BUNTAR: Sebuah kereta dan tiga motosikal musnah dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Sungai Kota, Tanjung Piandang, dekat sini, awal pagi ini.
Kebakaran di bahagian letak kenderaan rumah kelas ‘A’ itu memusnahkan kereta jenis Nisaan Sentra, masing-masing sebuah motosikal jenis Yamaha, SM Sport dan Honda RS 150.
Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu jam 1.55 pagi.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas ‘A’ di bahagian letak kenderaan yang melibatkan empat kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan sumber air dari pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abdul Talid Isa tamat jam 3 pagi.
#kebakaran #bahagian letak kenderaan #Kampung Sungai Kota #JBPM
;