Tiga kementerian Persekutuan salur RM3.17 bilion kepada Sarawak - Dr Sim

Bernama
November 28, 2023 13:50 MYT
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM2.62 bilion sebagai dana mengurus dan RM397.68 juta untuk pembangunan kemudahan kesihatan. - Gambar fail/FB Dr Sim Kui Hian
KUCHING: Tiga kementerian Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM3.17 bilion tahun ini untuk program pembangunan dan dana operasi di Sarawak.
Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM2.62 bilion sebagai dana mengurus dan RM397.68 juta untuk pembangunan kemudahan kesihatan.
Bercakap pada sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini, beliau berkata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memperuntukkan RM83.02 juta bagi pelaksanaan tujuh projek tebatan banjir dan saliran di negeri ini.
"Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM53.41 juta pada 2023 untuk 26 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak bagi melaksanakan 305 kemudahan awam kecil, fasiliti dan projek infrastruktur," katanya.
Selain itu beliau berkata KPKT juga memperuntukkan RM7.7 juta untuk membaiki 453 rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dan RM10.5 juta untuk pembangunan dua balai bomba yang terletak di Kota Sentosa di sini dan di Sungai Asap di daerah Belaga.
-- BERNAMA
#kementerian Persekutuan #Sarawak #program pembangunan #dana operasi #Dr Sim Kui Hian