Tiga keluarga terperangkap banjir kilat di Batu Pahat
Siti Nur Aqilla Omar
September 14, 2022 11:10 MYT
September 14, 2022 11:10 MYT
BATU PAHAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor berjaya menyelamatkan tiga keluarga yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat akibat air pasang besar di Kampung Sri Gading, di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shahrul Nizam Sadri berkata, lapan anggota digegaskan ke lokasi selepas panggilan diterima jam 3.57 pagi tadi.
Katanya, kejadian berlaku berikutan hujan lebat yang menyebabkan air naik dan tidak dapat mengalir ke sungai.
"Lapan penduduk terjejas kemudiannya diselamatkan pihak bomba.
"Empat kawasan terjejas membabitkan Kampung Sri Gading, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Sri Gading.
"Hujan lebat yang berterusan dan berlaku fenomena air pasang setinggi 0.6 meter yang menyebabkan air tidak dapat keluar cepat ke Sungai Simpang Kanan.
"Bagaimanapun, situasi air pasang di lokasi kejadian mula beransur pulih," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.