Tiga kedai sederet termasuk bengkel musnah terbakar di Teluk Intan
Aida Aziz
Ogos 6, 2024 08:45 MYT
Ogos 6, 2024 08:45 MYT
TELUK INTAN: Sebanyak tiga buah deretan kedai termasuk bengkel musnah dalam kejadian kebakaran berhampiran Grand Court, Jalan Maharajalela Teluk Intan, di sini pada awal pagi Selasa.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kebakaran yang berlaku jam 4.20 pagi itu membabitkan bengkel motosikal, bengkel cat kereta serta kedai minuman.
Katanya, seramai 16 orang yang terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Hutan Melintang, Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan, Batu 12 dan Langkap bergegas ke lokasi.
"Bengkel motosikal kelas C terbakar sebanyak 90 peratus dan melibatkan anggaran 50 buah motosikal.
" Kedai minuman kelas C terbakar 90 peratus manakala bengkel cat kereta kelas C terbakar 90 peratus yang turut melibatkan sebuah kereta Honda Accord musnah terbakar 70 peratus," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau menambah, kebakaran itu tidak melibatkan mangsa.
"Ketua operasi membuat size up dan mengaplikasikan konsep RECEO, seterusnya mengarahkan anggota membuat pemadaman dengan menggunakan sumber air dari pili bomba.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.39 pagi," katanya lagi.