Tiga kawasan di Kapar terjejas akibat air pasang besar

Dania Zainuddin
Oktober 19, 2016 17:51 MYT
Air naik di Jalan Kebun Baru Batu 5, Jalan Kapar, Klang tetapi masih terkawal - Foto @bombaJBPM
Fenomena air pasang besar yang bermula sejak 16 Oktober lalu dijangka akan berakhir hari ini.
Namun setakat pagi Rabu, tiga kawasan masih terjejas akibat fenomena ini iaitu Kampung Tok Muda, Kampung Batu 5 dan Kampung Batu 4.
Pada jam 7:22 pagi, ketinggian air dicatatkan pada 5.4 meter berbanding 5.7 meter pada hari sebelumnya.
Menurut Penolong Ketua Operasi Pegawai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Mawardi Ahmad, mangsa yang terlibat dinasihati untuk terus mengikuti arahan bagi mengelak sebarang situasi buruk.
"Mengenai kawasan kampung yang terjejas atau mengalami air pasang melibatkan 43 keluarga di Kawasan Batu 4 dan Kawasan Batu 5.
"Nasihat saya kepada penduduk kampung di sini adalah setiap arahan yang diberi oleh Jabatan berkenaan, perlulah diambil tindakan segera, kita tak mahu berlaku kejadian yang di luar jangkaan," kata Mawardi ketika ditemui Astro AWANI, di sini.
Pada masa sama, sekolah Tadika Naim yang terletak di Kampung Batu 4 adalah antara kawasan yang turut dinaiki air.
Guru Besarnya, Hasbiah berkata beliau telah menerima maklumat kira-kira jam 9 pagi mengenai kenaikan air di kawasan itu.
"Dalam jam 9:15 pagi, saya sudah arahkan guru-guru untuk keluarkan semua murid dari sekolah. Kami juga sudah hubungi ibu bapa dan juga pemandu van sekolah untuk menghantar mereka pulang," kata Hasbiah.
Menurut penduduk kampung, Rohan Mukhlas, air yang naik pada pagi ini mencecah ketinggian paras lutut .
"Pada Isnin lepas, ketinggian air memang tinggi, tetapi semalam tiada air yang naik.
"Kenaikan air hari ini hanya berlaku untuk kira-kira 3 jam, bermula sekitar jam 8 pagi, dan pada jam 11 pagi, air mula susut," kata Rohan.
Sementara itu, di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir yang terletak di Kampung Tok Muda, badan kebajikan kemanusiaan dan bencana alam di bawah parti Amanah Selangor sudah mula aktiviti menghulurkan bantuan kepada mangsa.
"Kami Biro Kebajikan Parti Amanah Negara, bersama sukarelawan Amal Relief Malaysia (ARIF) akan membantu mangsa dengan aktiviti pembersihan untuk meringankan bebanan dan tekanan mangsa," kata Mariam Abdul Rashid, Pengerusi Biro Kebajikan Kemanusiaan dan Bencana Alam parti Amanah Selangor.
Katanya, badan itu juga menyediakan unit pemulihan dalam memberi semangat dan motivasi kepada mangsa yang mungkin trauma.
Setakat ini, jumlah mangsa akibat fenomena air pasang besar yang ditempatkan di pusat pemindahan masih kekal di Selangor dan Kedah.
#air pasang besar #Kampung Batu 4 #Kampung Batu 5 #Kampung Tok Muda #kapar
;