Tiga kapal TLDM teruskan pencarian dua anggota tentera darat hilang

Bernama
Oktober 5, 2016 05:41 MYT
Pencarian diteruskan membabitkan tiga kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Ledang dan KD Selangor. - Gambar Fail Bernama
Usaha mencari dua anggota tentera darat dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut di Pulau Perak berhampiran Langkawi semalam, masih diteruskan.
Markas Tentera Darat dalam kenyataan berkata usaha pencarian itu masih diteruskan membabitkan tiga kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Ledang dan KD Selangor.
"Pasukan Khas Laut (PASKAL) telah meninjau tempat kejadian iaitu di lokasi yang dipercayai anggota berkenaan terjatuh dari tebing pulau.
"Pencarian masih diteruskan dalam keadaan cuaca cerah dan ombak yang bergelora," menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu melibatkan Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Kota Marudu, Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Baling, Kedah dan mereka berpangkalan di Oran, Perlis. -- BERNAMA
#KD Laksamana Tun Abdul Jamil #KD Ledang #KD Selangor. #Tentera darat hilang #Tentera Laut Diraja Malaysia