Tiga kampung dilanda banjir, dua PPS dibuka

Norfarhiza Mohd Atar
November 3, 2022 01:40 MYT
Mangsa banjir diarahkan berpindah ke PPS berkenaan berikutan kediamanya dimasuki air yang boleh menjejaskan keselamatan mereka. - Astro AWANI
RAUB: Seramai 64 orang dari 14 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat hujan lebat malam tadi.
Kejadian tersebut menyebabkan 14 kediaman di Kampung Batu Talam, Kampung Ulu Atok dan Kampung Jenud terjejas selepas limpahan air dari Sungai Batu Malim dan Sungai Semantan.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Raub, Kapten (PA) Samasuddin Kambade berkata, seramai 19 mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Talam yang dibuka pada jam 2 pagi.
"Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Atok yang dibuka pada jam 4 pagi menempatkan seramai 45 mangsa dari 10 keluarga.
"Mangsa banjir diarahkan berpindah ke PPS berkenaan berikutan kediamanya dimasuki air yang boleh menjejaskan keselamatan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, selain Angkatan Pertahanan Awam (APM), pelbagai agensi turut membantu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Anggota APM membantu memasang kubikal yang menempatkan mangsa banjir dari tiga kampung.
Anggota APM membantu mangsa banjir berpindah ke PPS.
Ihsan Foto : APM RAUB
#mangsa banjir #pusat pemindahan #hujan lebat #Samasuddin Kambade