Tiga juta pil eramin 5 disembunyi dalam ekzos motosikal dirampas

Astro Awani
Februari 8, 2019 15:35 MYT
Pemantuan terhadap dua kontena itu dibuat sejak Disember 2018 sebaik sahaja tiba dari Taiwan selepas tiada tuntutan dibuat daripada mana-mana pihak.
Cubaan menyembunyikan kira-kira 3 juta biji pil eramin 5 di dalam 1,248 batang besi ekzos motosikal gagal apabila kesemua dadah bernilai RM60 juta itu berjaya dirampas di Pelabuhan Klang, Selangor pada 31 Januari lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T. Subromaniam berkata, cubaan menyeludup 480 kilogram pil berkenaan dipatahkan pihaknya selepas menyita dua buah kontena yang membawa peralatan kenderaan dari Taiwan.
Menurutnya, pemantuan terhadap dua kontena itu dibuat sejak Disember 2018 sebaik sahaja tiba dari Taiwan selepas tiada tuntutan dibuat daripada mana-mana pihak.
"Pada 31 Januari lalu kita telah menahan dua kontena 20 kaki yang datang disyaki dari Taipei Taiwan. Hasil pemeriksaan didapati kedua-dua kontena itu mengandungi 3 juta pil eramin 5 dengan berat kasar kira-kira 480 kilogram yang disorokkan dalam 1,248 unit besi ekzos motosikal," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Tambahnya, susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan kira-kira 300,00 penagih dadah.
#ekzos #kastam #motosikal #seludup #T Subromaniam
;