Tiga juta kenderaan dijangka banjiri Pulau Pinang Aidilfitri ini
Bernama
April 19, 2023 16:28 MYT
April 19, 2023 16:28 MYT
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menjangkakan lebih tiga juta kenderaan akan membanjiri negeri itu sepanjang lapan hari Op Selamat 20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, yang bermula esok hingga 27 April ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau berharap semua pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan bersabar bagi mengelakkan sebarang kemalangan ketika berlakunya kesesakan sepanjang tempoh itu.
"Berdasarkan statistik yang kami ada, kadar lalu lintas atau kenderaan yang masuk dan keluar dari Pulau Pinang mencecah 2.1 juta dalam tempoh seminggu, dan ia mencecah 2.2 juta sepanjang minggu lepas.
''Oleh itu, kita anggarkan sepanjang Op Selamat pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini jumlah kenderaan yang memasuki Pulau Pinang mencecah tiga juta,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya sepanjang Op Selamat kali ini 292 orang pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut.
Katanya selain itu, pihaknya juga menjangkakan kesesakan akan berlaku di sekitar negeri ini dan terdapat beberapa jalan-jalan yang dikenal pasti berlaku kepadatan dan juga kawasan sering berlaku kemalangan.
"Terdapat tujuh kawasan hot spot kemalangan iaitu antaranya Jalan Teluk Air Tawar - Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai - Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Empat (KM12-KM32), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu - Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam -Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr. Awang,'' katanya.
-- BERNAMA