Tiga jawatankuasa bakal bentang model baharu ganti BERNAS
Hilal Azmi
Jun 21, 2018 15:23 MYT
Jun 21, 2018 15:23 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengemukakan model baru bagi menggantikan monopoli Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) yang bakal berakhir pada tahun 2021.
Menterinya Salahuddin Ayub berkata, tiga jawatankuasa khas di bawah kementeriannya dan satu badan induk telah ditubuhkan dalam usaha kerajaan untuk menunaikan salah satu manifesto Pakatan Harapan bagi menamatkan monopoli Bernas.
Ini sebagai langkah proaktif bagi menjamin kestabilan harga beras di samping menjaga kepentingan petani, katanya.
"Jawatankuasa tersebut berperanan untuk menyediakan model baharu bagi pembekalan beras dalam negara serta import eksport komoditi itu untuk dikemukakan kepada badan induk yang akan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diadakan di ibu negara di sini hari ini.
"Badan induk ini akan dianggotai Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta saya sendiri. Model ini akan dirumuskan pada pertengahan Julai dan di bawa ke kabinet Ogos.
"Tujuan utama kita adalah untuk menurunkan harga beras dan dalam masa sama menjaga kepentingan pesawah tetapi ini semua bergantung kepada model tersebut nanti," katanya dalam sidang media pada Khamis.
Pada Rabu, Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula dasar dalam perbekalan padi dan barangan pertanian termasuk peranan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).
Peranan jawatankuasa itu, akan berkisar kepada isu penamatan monopoli syarikat itu dan merangka model baharu.
#Azmin Ali
#BERNAS
#ekonomi
#kabinet
#kerajaan
#kesihatan
#Mahathir Mohamad
#Manifesto
#Media
#menteri
#model
#Padi Beras Nasional
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#Salahuddin Ayub