Tiga jalan ditutup bagi kerja pembinaan MRT

Bernama
Februari 22, 2016 22:41 MYT
Jalan yang terlibat dalam penutupan sementara itu adalah Jalan Semantan, bulatan Taman Billion dan Jalan Cheras.
Penutupan sebahagian jalan secara sementara akan dibuat di Damansara dan Cheras mulai 24 Februari ini untuk kerja pembinaan MRT.
Jalan yang terlibat adalah Jalan Semantan, bulatan Taman Billion dan Jalan Cheras.
MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini berkata lorong paling kanan sepanjang 300 meter di Jalan Semantan, Lebuhraya SPRINT (arah Kuala Lumpur dan Petaling Jaya) akan ditutup selama 17 hari untuk kerja melebarkan jalan di situ.
"Laluan itu akan ditutup 24 jam dan semasa penutupan itu, dua lorong dibuka untuk pengguna dari kedua-dua hala," tambah kenyataan tersebut.
Kenyataan itu juga menyebut penutupan jangka panjang sebahagian laluan sepanjang 120 meter akan dibuat sehingga 1 April di Jalan Cheras menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Ia membabitkan laluan dari Kajang berhampiran bulatan Taman Billion untuk kerja pembinaan laluan pandu MRT.
"Bagi laluan alternatif ke Jalan Cheras (arah KL), pengguna jalan raya dari Kajang dinasihatkan menggunakan bulatan Taman Billion untuk ke MRR2," tambah kenyataan itu.
Sementara itu, penutupan di Jalan Cheras adalah selama 63 hari iaitu sehingga 26 April yang menjejaskan pengguna yang menghala ke KL dan Kajang di Taman Midah dari pukul 11 malam hingga 5 pagi.
"Aliran trafik dari KL menuju ke Kajang akan dialihkan di jalan dalaman di stesen Petronas berhampiran Tanah Perkuburan Kristian dan keluar di Jalan Cheras melalui restoran McDonald sewaktu penutupan jalan itu.
"Pengguna dari Kajang menghala ke KL pula dialihkan ke jalan di bawah stesen MRT Taman Midah," tambah kenyataan itu.
#bulatan Taman Billion #Jalan Cheras #Jalan Semantan #penutupan jalan
;