Tiga jajahan di Kelantan berpotensi jadi tarikan ekopelancongan

Bernama
Mac 13, 2024 10:15 MYT
Pemandangan indah di kawasan pedalaman di Gua Musang. - Foto fail/Sinar Harian
KOTA BHARU: Tiga jajahan di Kelantan iaitu Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi dibangunkan untuk menjadi tarikan ekopelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata kebanyakan lokasi yang terlibat adalah di kawasan pedalaman kerana mempunyai sumber alam semula jadi yang indah seperti sungai, gua dan bukit.
Beliau berkata walaupun terdapat beberapa kawasan di jajahan terbabit sudah memiliki daya tarikan ekopelancongan seperti Lata Kashmir dan Gunung Reng di Jeli, Kompleks Gua Ikan di Kuala Krai, namun kerajaan negeri masih ingin meneroka banyak lagi kawasan baharu agar dapat menarik minat orang ramai mengunjungi negeri Cik Siti Wan Kembang.
"Jika sebelum ini, negeri Kelantan sering menonjolkan keunikan budaya dan makanan tradisi, kali ini bersempena dengan Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024), kami juga cuba mengetengahkan kawasan-kawasan yang memiliki sumber alam semula jadi.
"Kami akan tingkatkan kemudahan dan infrastruktur di kawasan baharu ini agar pengunjung berasa selesa untuk eksplorasi gua, mendaki bukit, merentasi kawasan hutan dan melihat sendiri kesan peninggalan kehidupan manusia pada zaman dahulu," katanya kepada Bernama baru-baru ini di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata pihaknya juga sedang memantau jumlah kehadiran pelancong tempatan dan luar negara menerusi Majlis Daerah setiap jajahan, selain berurusan dengan agensi pengurusan pelancongan setempat untuk memastikan keberadaan mereka di Kelantan dalam keadaan selamat dan selesa.
Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM3.3 juta bagi merancakkan program TMK 2024, dengan memaparkan keaslian seni budaya dan warisan masyarakat tempatan menerusi penganjuran program bertaraf antarabangsa.
Kerajaan negeri optimis TMK 2024 dengan tema "Keluarga, Makanan dan Festival" akan mencapai kejayaan sasaran 10 juta pelancong ke negeri ini.
-- BERNAMA
#ekopelancongan #Kuala Krai #jeli #Gua Musang
;