Tiga jajahan di Kelantan alami gangguan bekalan air esok
Astro Awani
November 21, 2021 11:39 MYT
November 21, 2021 11:39 MYT
KUALA LUMPUR : Tiga jajahan di Kelantan bakal mengalami gangguan bekalan air melibatkan kira-kira 32,018 akaun pada Isnin.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga jajahan yang terlibat ialah Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu Selatan dan Timur.
"Gangguan bekalan air di tiga jajahan di Kelantan - Jajahan Machang, Pasir Puteh dan sebahagian kawasan Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Timur pada Isnin, 22 November bermula 10 pagi hingga 3 petang.
"Ia susulan penutupan sementara loji rawatan air Merbau Chondong Machang.
"Gangguan sementara ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad dilakukan dalam tempoh tersebut di intake Sungai Bagan dan sekitarnya," jelasnya.
Bagi kawasan jajahan Kota Bharu Selatan pula, ia melibatkan Pekan Kok Lanas, Kg Bukit China, Taman Guru Desa Pahlawan, Kem Desa Pahlawan dan lain-lain.
Manakala jajahan Kota Bharu Timur pula melibatkan Kg Pak Badol, Kg Serdang, Kg Mek Mayang dan lain-lain.
Pelanggan disaran untuk menyimpan bekalan air mencukupi dan berhemah dalam menggunakan air.
Untuk pertanyaan pengguna boleh menghubungi Pusat Informasi dan Talian Aduan (Pintas) di talian 15777 atau WhatsApp 0195755777 atau muat turun aplikasi MyAKSB untuk maklumat lanjut.