Tiga 'Iron Lady' jaga motosikal waktu solat Jumaat

Adie Sufian Zulkefli
Februari 16, 2018 18:33 MYT
Norlia, Nor Azizah dan Zarina secara sukarela menawarkan khidmat itu berikutan beberapa kes kecurian motosikal sejak tahun lalu. - Astro AWANI
Dikala ibu-ibu lain sedang masak atau berehat bersama anak dan cucu di rumah, lain pula yang terjadi kepada tiga wanita yang bergelar ‘Iron Lady’ ini.
Mereka secara sukarela menjaga kenderaan seperti motosikal dan basikal jemaah solat Jumaat di daerah Yan setiap minggu demi memastikan tiada kes kecurian berlaku.
Mereka sanggup berpanas atau berhujan bagi melakukan rondaan demi menjaga kenderaan terutamanya motosikal dan basikal jemaah di pekarangan Masjid Al-Sultan Abdul Halim Muazzam Shah.
Menurut pengerusi Skuad Elit Jiran Wanita (Sejiwa) Kampung Sungai Limau Dalam, Norlia Ismail, 57 tahun, dia bersama dua lagi rakannya Nor Azizah Abdul Aziz, 52, dan Zarina Ismail, 38, secara sukarela menawarkan khidmat itu berikutan beberapa kes kecurian motosikal sejak tahun lalu.
Ibu kepada empat anak itu berkata, mereka melakukannya dengan rela hati bagi memastikan jemaah dapat menunaikan solat Jumaat dengan tenang.
“Biasanya apabila jemaah tengah menunaikan sembahyang Jumaat, kami akan meronda di setiap lorong. Kadang-kadang ada sahaja yang akan kacau motosikal mereka,” kata Norlia.
Menurut Nor Azizah pula, sepanjang mereka menjalankan tugas itu, tiada kes kecurian yang berlaku.
“Pernah berlaku kecurian motosikal di sini, jadi kita ambil inisiatif untuk tubuhkan pasukan yang terdiri daripada kami bertiga untuk menjaga keselamatan kenderaan di kawasan masjid sepanjang solat Jumaat.
“Alhamdulillah, setakat ni maklum balas yang kami terima memang memberansangkan daripada kariah masjid,” katanya.
Lain pula bagi Zarina Ismail, meskipun pada awalnya kehadiran mereka di pekarangan masjid setiap waktu solat Jumaat dipandang sinis sesetengah orang, namun mereka tetap menebalkan muka kerana niat untuk melakukan amal jariah.
“Nawaitu (niat) yang penting, jangan ada sifat malu. Awal-awal dulu memang kami malu, sebab orang tanya kenapa kami di sini apabila kami sepatutnya berada di rumah. Tetapi kami nak beri sumbangan buat kariah kami, ini cara kami,” katanya.
#curi motosikal masjid #iron lady #jaga motosikal #kampung sungai limau dalam #masjid al sultan abdul halim
;