Tiga inisiatif ditubuhkan bantu pelajar Sabah

Astro Awani
April 19, 2022 08:50 MYT
Hajiji (tengah) menyampaikan duit raya kepada wakil pelajar pada Majlis Nuzul Al-Quran dan berbuka puasa mahasiswa Sabah di Shah Alam pada Isnin. - Astro AWANI.
SHAH ALAM: Kerajaan Sabah mengumumkan tiga insiatiaf bagi membantu para pelajar negeri itu yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertama, pihaknya menubuhkan sekreteriat khas di bawah Menteri Tugas-Tugas Khas bagi memayungi semua persatuan pelajar Sabah di Semenanjung.
Menurut Hajiji, sekreteriat itu berfungsi sebagai penyelaras dan penyalur maklumat berhubung bantuan serta inisiatif kerajaan negeri.
"Kedua, kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah telah meluluskan penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang mendapat dana daripada badan-badan korporat serta swasta bagi membantu meringankan beban anak-anak Sabah.
"Penubuhan TPNS ini adalah untuk mengumpul dana bagi membolehkan lebih banyak peluang tajaan dapat disalurkan kepada anak-anak Sabah yang berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan berbuka puasa mahasiswa institusi pengajian tinggi bersama Ketua Menteri Sabah, di Setia Alam, Selangor pada Isnin.
Hadir sama Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M; Pengarah Yayasan Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong.
Bagi inisiatif ketiga, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, kerajaan negeri akan mengadakan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) pada Mei ini di Kota Kinabalu.
Katanya, MPPS akan digerak dan diselaraskan oleh Institut Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama pejabat tugas-tugas khas dan Majlis Belia Sabah (MBS).
"MPPS akan menghimpukan mahasiswa IPTA dan IPTS, politeknik, institut kemahiran, kolej komuniti dan pemimpin pelajar sekolah menengah dalam satu persidangan yang dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan negeri bagi mendengar aspirasi mereka.
"Saya mengharapkan MPPS menjadi platform berkesan kepada anak muda Sabah bagi mendapat aspirasi mereka untuk sama-sama mengangkat hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya.
#Bantuan pelajar Sabah #Hajiji Noor #Sekreteriat Khas Sabah #Tabung Pendidikan Negeri Sabah
;