Tiga individu termasuk dua beranak dalang tipu tuntutan Perkeso

Astro Awani
Julai 13, 2020 16:50 MYT
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk mendapatkan perintah reman. - Gambar fail
Tiga individu termasuk dua beranak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memalsukan dokumen bagi mendapatkan pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai lebih RM540,000.
Pasangan anak beranak yang berusia 59 dan 36 tahun bersama seorang lagi wanita berusia 50 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya kira-kira pukul 2.45 petang tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek tersebut dipercayai mendalangi sindiket yang membuat tuntutan palsu bagi laporan perubatan Orang Berinsurans (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara atau kekal dan Pencen ILAT.
Mereka dipercayai melakukan kegiatan tersebut sekitar 2009 hingga 2017.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambahnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk mendapatkan perintah reman.
#orang berinsurans #pencarum perkeso #pencen ilat #perkeso #Putrajaya #sindiket #SPRM #tuntutan palsu
;