Tiga individu direman bantu siasatan kejadian tembak penternak lembu
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 24, 2021 21:42 MYT
Ogos 24, 2021 21:42 MYT
SUNGAI PETANI: Polis Kedah menahan tiga individu bagi membantu siasatan kejadian tembak dan tetak mati seorang penternak lembu di Estate Kongsi 14, di Jalan Bukit Selambau, di sini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 34 tahun itu ditahan di sekitar lokasi kejadian awal pagi tadi.
Katanya, kesemua mereka telah direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 Ogos ini untuk membantu siasatan.
Jelas beliau, hasil siasatan dari Bahagian Forensik mendapati ada kesan tembak dan tetak di bahagian hadapan dan belakang badan mangsa.
"Kita dapati ada beberapa kesan tembakan sama ada melalui pistol atau senjata yang lain dan hasil daripada itu juga, selain daripada tembakan terhadap badan ada juga beberapa kesan tetakan mungkin dari senjata tajam atau parang.
"Kita belum jumpa lagi senjata-senjata (yang digunakan suspek) tersebut, di samping itu beberapa kelongsong peluru turut kita jumpai di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Kamarul Zaman meninjau lokasi kejadian Estate Kongsi di Jalan Bukit Selambau, petang tadi.
Turut sama ialah Ketua Siasatan Jenayah Kedah, SAC Suresh Kumar dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.
Mengulas lanjut mengenai kes tersebut, Kamarul Zaman tidak menolak kemungkinan mangsa berusia 38 tahun itu dibunuh kerana dendam atau mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.
"Ada yang kata (ia) pergaduhan kongsi gelap, kita pun belum pasti lagi sama ada ia pergaduhan kongsi gelap. Walau apa pun kita akan membuat siasatan," jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan tembak dan tetakan di Estate Kongsi 14, Bukit Selambau.
Mayat mangsa ditemui dua lelaki yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Mereka melihat sebuah motosikal di tepi jalan utama bersama mayat tersebut sebelum menghubungi polis.