Tiga hari untuk padam kebakaran di tapak pelupusan sampah Lubok Jong

Bernama
Februari 26, 2024 15:45 MYT
Keadaan terkini di tapak pelupusan sampah Lubok Jong yang terbakar sejak semalam. - Gambar/ Bernama
PASIR MAS: Tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 0.2 hektar di Lubok Jong, di sini, terbakar malam tadi, dan usaha pemadaman dijangka mengambil masa sehingga dua hingga tiga hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Mas Mohd Azmi Hussin berkata kebakaran berlaku kira-kira 9.40 malam dan operasi pemadaman dilakukan sejak 10 malam.
Beliau berkata Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) turut membantu membuat sistem perparitan menggunakan dua jengkaut bagi mengawal kebakaran.
"Kita menggali sistem perparitan sedia ada yang dibina oleh MDPM di tapak itu bagi menghalang kebakaran merebak ke kawasan luar," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati operasi pemadaman melibatkan 14 anggota bomba dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), MDPM serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Mohd Azmi berkata pihaknya menjangkakan kerja-kerja pemadaman mengambil masa dua hingga tiga hari.
"Kebakaran terkawal dan tidak melibatkan kawasan rumah penduduk kampung. Punca kebakaran sedang disiasat," katanya.
-- BERNAMA
#kebakaran tapak pelupusan sampah #lubuk jong #Kelantan #cuaca panas
;