Tiga hari 'tinggal sebumbung' dengan ular tedung

Madiha Abdullah
Jun 22, 2017 15:28 MYT
Usaha reptilia itu untuk memasuki rumah berjaya apabila ia menemui tingkap kecil di bahagian atas pintu. - FOTO/Facebook Derrick Koh
TIGA hari lalu, sebuah video memaparkan bagaimana seekor elor tedung menjalar masuk ke sebuah rumah rancak dikongsi di media sosial.
Video itu dimuat naik pengguna Facebook, Derrick Koh.
Dalam video berdurasi 1 minit 9 saat itu, ular tedung yang dianggarkan sepanjang dua meter itu pada mulanya dilihat bersembunyi di barang-barang yang diletakkan di hadapan rumahnya yang terletak di Batu Pahat, Johor.
Namun keadaan menjadi mencemaskan apabila ular itu pantas menyelusur memanjat pintu hadapan dan cuba memasuki rumah.
Usaha reptilia itu berjaya apabila ia menemui tingkap kecil di bahagian atas pintu.
Bomba yang dipanggil untuk mengeluarkan ular itu bagaimanapun gagal menemuinya.
Namun keresahan Koh dan keluarga berakhir semalam apabila ia berjaya ditemui.
Beberapa tompokan cecair dengan bau busuk membawa kepada penemuan ular tedung itu yang bersembunyi di belakang sebuah almari.
Koh tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba yang bertungkus lumus hampir sejam untuk mengeluarkan ular tersebut.
#Johor #rumah #ular tedung
;