Tiga hari tinggal bersama mayat nenek
Nur Fazlizai Ali
Disember 27, 2019 19:22 MYT
Disember 27, 2019 19:22 MYT
Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental tinggal selama tiga hari bersama mayat nenek yang disangkakan sedang tidur.
Kejadian berlaku di Pangsapuri Ladang Gemilang Satu, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun insiden itu hanya disedari anak mangsa ketika dia berkunjung ke rumah ibunya kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Menurut Norhaizan Amran, pada mulanya dia menyangkakan ibunya itu sedang tidur di ruang tamu rumah berkenaan.
Namun, katanya selepas di panggil beberapa kali ibunya Saodah Long, 82 tahun masih diam lantas dia meluru ke arah mangsa yang terbaring di ruang tersebut.
“Kenapa nenek tak bangun… nampak dah dari luar nenek sakit, lepas tu pergi dekat tengok dah bengkak. Saya panggil la anak.
“Tengok dari jauh macam tidur. Ada bau tapi tak syak apa-apa,” katanya.
Menurut Norhaizan, kali terakhir dia bertemu ibunya ialah pada seminggu yang lalu dan jiran-jiran menyangkakan mangsa telah pulang ke rumah anaknya di Bukit Payung Marang.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (Hsnz) untuk tindakan lanjut.
#Bukit Payung Marang
#mayat nenek
#Norhaizan Amran
#OKU
#Pangsapuri Ladang Gemilang Satu
#Saodah Long