Tiga hari tak hadir kerja rungkai penemuan mayat

Sinar Harian
Mac 31, 2023 18:39 MYT
Mohd Iqbal berkata, laporan polis dibuat majikan mangsa kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menemukan mayat mangsa di lokasi. - Fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Mayat seorang pengawal keselamatan ditemui di dalam bilik air sebuah rumah di Dataran Otomobil, Seksyen 15 di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan polis dibuat majikan mangsa kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menemukan mayat mangsa di lokasi.
"Siasatan mendapati mangsa yang merupakan lelaki berumur 48 tahun itu dipercayai tiga hari tidak hadir bekerja serta gagal dihubungi majikannya.
"Majikan kemudian datang ke rumah mangsa sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan bersandar di dinding bilik air selain keadaan fizikal yang sudah mereput dan berbau," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. -- Sinar Harian
#mayat ditemui #pengawal keselamatan #shah alam #Hospital Shah Alam
;