Tiga generasi tunai tanggungjawab mengundi

Sahlizah Mohamed
April 13, 2019 10:28 MYT
Mereka sekeluarga tidak pernah terlepas menunaikan tanggungjawab mengundi selama ini. - Astro AWANI/Sahlizah Mohamed
Empat sekeluarga daripada tiga generasi mendapat perhatian semasa hadir untuk membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.
Lai Ah Nga, 81 tahun, bersama isteri, Liong Ah Kiu, 78 tahun, bersama anak, Lai Mee Ling, 55 tahun, serta cucunya, Chow Kak Yee, 27 tahun, menjadi antara pengundi awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Rantau, Negeri Sembilan.
Menurut Kak Yee, mereka sekeluarga tidak pernah terlepas menunaikan tanggungjawab mengundi selama ini.
“Saya bersama ibu, datuk serta nenek lebih selesa datang awal pagi untuk mengundi.
“Datuk tidak sihat kerana sakit tua, tetapi dia tetap mahu mengundi walaupun berkerusi roda dan memakai tiub,” katanya pada Sabtu.
Menurut Kak Yee, dia tidak berdepan dengan kesukaran menguruskan datuknya yang merupakan bekas peneroka untuk keluar mengundi.
Keluarga itu tiba di SJKT untuk membuang undi sebelum pukul 8 pagi dan selesai sekitar setengah jam selepas itu.
#Chow Kak Yee #Lai Ah Nga #Lai Mee Ling #Liong Ah Kiu #prk rantau #Rantau Memilih #SJK Tamil Rantau
;