Tiga gajah jantan liar ditangkap Perhilitan Kelantan
Bernama
Ogos 14, 2024 22:45 MYT
Ogos 14, 2024 22:45 MYT
KOTA BHARU: Tiga gajah jantan liar berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Lawar, Jeli dan Felda Chiku 3, Gua Musang dekat sini kelmarin.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata tangkapan pertama melibatkan dua gajah jantan oleh sepasukan tujuh anggota dari Pejabat Perhilitan Jeli dan Unit Tangkapan Gajah Kelantan di Kampung Lawar di Batu Melintang, Jeli.
"Seekor lagi gajah jantan liar turut ditangkap semalam berdekatan Felda Chiku 3 oleh 10 anggota dari Pejabat Perhilitan Gua Musang, Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Gua Musang, Jabatan Perhilitan Negeri Pahang dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) yang menjalankan operasi.
"Operasi tangkapan itu dilakukan selepas menerima aduan daripada peneroka yang mengatakan terdapat gajah berkeliaran di kawasan kediaman mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan berharap kejayaan menangkap tiga gajah liar ini akan mengurangkan kebimbangan penduduk.
"Tindakan ini juga dapat mengelak kerugian berterusan dialami penduduk setempat akibat kemusnahan tanaman dan harta benda disebabkan oleh gajah liar itu," katanya.
Pemindahan dan pelepasan tiga gajah liar itu ke habitat yang lebih sesuai, selamat dan jauh daripada penempatan manusia akan dijalankan dalam masa terdekat oleh anggota PKGK dengan dibantu kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan," tambah beliau.
-- BERNAMA