Tiga fasa Strategi Semikonduktor Nasional, tarik berbilion pelaburan - PM

Hasimi Muhamad
Mei 28, 2024 16:03 MYT
April lalu, Anwar berkata MITI akan merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia, yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tersebut antara lima sasaran dalam NSS, yang akan meliputi tiga fasa.
Berucap pada Ekspo SEMICON Asia Tenggara, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Fasa Satu NSS akan melibatkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang memberi tumpuan kepada Reka Bentuk Litar Bersepadu atau Intergrated Circuit (IC); Pembungkusan dan Peralatan Pembuatan, serta Pelaburan Langsung Asing (FDI).
“Pertumbuhan Syarikat: Menjelang Fasa Dua, kami ingin menubuhkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia dalam Reka Bentuk dan Pembungkusan dengan pendapatan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion, dan sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan hampir RM1 bilion (USD210 juta), serta mewujudkan gaji yang lebih tinggi untuk pekerja Malaysia,” katanya di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Selasa.
Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Pada masa yang sama, Anwar berkata NSS juga menyasarkan Malaysia menjadi sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan global (R&D) untuk semikonduktor.
Ia antaranya menampilkan universiti-universiti bertaraf dunia, R&D korporat, dan pusat kecemerlangan, dengan menggabungkan bakat Malaysia dan antarabangsa yang terbaik.
April lalu, Anwar berkata MITI akan merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik ini.
Perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Malaysia menguasai 13 peratus daripada pasaran global untuk perkhidmatan pembungkusan, pemasangan dan ujian untuk semikonduktor.
Mengenai sasaran keempat dan kelima pula, Perdana Menteri berkata Malaysia akan melatih dan meningkatkan jumlah 60,000 jurutera mahir, selain peruntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion dalam sokongan fiskal untuk mengaktifkan NSS.
Ujarnya, perincian lanjut mengenai insentif untuk mengaktifkan NSS akan diumumkan oleh MITI tidak lama lagi.
Perdana Menteri menambah, pada Fasa Ketiga, ia akan melibatkan inovasi, dengan menguatkan sokongan melalui pembangunan syarikat reka bentuk semikonduktor Malaysia bertaraf dunia.
Dalam masa yang sama, menarik pembeli cip-cip canggih seperti Apple, Huawei, dan Lenovo.
“Untuk kekal fleksibel dan tangkas, NSS akan menjadi dokumen yang dinamik, dan berkembang mengikut keperluan.
“Namun, kita tetap teguh dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai pemain global utama dalam teknologi yang boleh diakses oleh semua, dikuasakan oleh industri semikonduktor kita,” tambah Anwar.
#Anwar Ibrahim #Pelan Strategik Semikonduktor #Majlis Pelaburan Negara #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
;