Tiga fasa pengagihan bakul makanan diberi kepada penduduk Pulau Redang
Nur Fazlizai Ali
Julai 30, 2021 07:49 MYT
Julai 30, 2021 07:49 MYT
PULAU REDANG: Meskipun terpisah jauh dari tanah besar namun bantuan dan sumbangan kepada mereka yang terkesan susulan pandemik COVID-19 tidak pernah dipinggirkan.
Bagi tujuan itu lebih RM50,000 telah dibelanjakan bagi membantu masyarakat Pulau Redang yang mempuyai kira-kira 2,000 penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, bantuan berbentuk keperluan asas serta bakul makanan disalurkan sejak bermulanya pandemik COVID-19.
Katanya sehingga kini sebanyak tiga fasa pengagihan bantuan itu telah diberikan kepada penduduk di pulau peranginan tersebut.
"Dari segi bantuan, maklumat yang saya terima tiada bendera putih dikibarkan.
"Namun kami akan sentiasa pantau keadaan bagi memastikan penduduk di Pulau Redang mendapat manfaat yang sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata selain itu pelbagai pihak turut tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk di pulau berkenaan.
Jelasnya ianya termasuk Op Bantu yang dilakukan pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Sementara itu Bazlan juga berharap sektor pelancongan di sini dapat beroperasi selepas pemain industri telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.
Jelasnya ia secara tidak langsung dapat menjana kembali ekonomi pelancongan selepas pendapatan mereka terkesan teruk susulan pandemik yang melanda.
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.