Tiga faktor penyasaran subsidi diesel belum dilaksana di Sabah, Sarawak - Armizan

Bernama
Oktober 28, 2024 15:19 MYT
Penyasaran subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan bukan atas faktor double standard atau tidak adil, sebaliknya ia mempunyai faktor yang berasas, kata Armizan. -Gambar fail/Bernama
TAWAU: Penyasaran subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan bukan atas faktor double standard atau tidak adil, sebaliknya ia mempunyai faktor yang berasas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Ringkasan AI
  • Kesukaran dalam memprofilkan penerima bantuan yang benar-benar memerlukan di Sabah dan Sarawak menyebabkan langkah ini dilaksanakan secara rintis di Semenanjung terlebih dahulu.
  • Penduduk di Sabah dan Sarawak menggunakan kenderaan diesel bukan atas kemahuan tetapi kerana keperluan keadaan geografi yang mencabar.
  • Terdapat jurang harga barangan yang besar antara Sabah, Sarawak, dan Labuan berbanding Semenanjung, yang belum dapat ditangani sehingga kini.

Beliau berkata perkara faktor pertama melihat kepada kesukaran pemprofilan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan di Sabah dan Sarawak, justeru langkah itu dilaksana secara rintis di Semenanjung terlebih dahulu.
"Di sana (Semenanjung) kita tahu sasaran yang mahu guna, kerajaan juga boleh salur penyasaran mengikut Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melalui Budi MADANI," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Kita Gempur @ Tawau bersama rakan strategik kepenggunaan, di sini, hari ini.
Armizan berkata faktor kedua pula kerana keadaan logistik dan geografi di Borneo yang menuntut penduduk Sabah dan Sarawak menggunakan kenderaan dengan bahan api diesel bukan atas kemahuan tetapi atas keperluan keadaan geografi.
Beliau berkata alasan ketiga adalah kerana jurang harga barangan yang begitu besar di Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding di Semenanjung sejak sekian lama dan perkara itu belum lagi dapat ditangani sehingga kini.
"Baru-baru ini saya bentang kepada Jemaah Menteri satu nota berkaitan pemantauan yang dilaksanakan oleh pegawai pemantau harga, kita kumpul tiga bulan iaitu Julai, Ogos dan September sebanyak 480 item.
"Kemudian kita bandingkan harga barangan itu dan kita dapati daripada pemantau iaitu 65 hingga 68 peratus harga barangan berkenaan jauh lebih tinggi di Sabah, Sarawak berbanding di Semenanjung," katanya.
Dalam pada itu Armizan berkata meskipun penyasaran subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan, namun dirinya selaku seorang menteri dan berasal dari Sabah, bertanggungjawab memastikan agar ketirisan subsidi diesel di negeri berkenaan ditangani.
"Jumlah terlibat subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan mencecah RM3.6 bilion setahun, dan jumlah ini bukan sedikit tetapi cukup besar sebab itu perkara ini tanggungjawab bersama memastikan tiada ketirisan berlaku," katanya.
Armizan turut memperingatkan semua pihak agar tidak menyalahkan kerajaan jika tindakan diambil berkaitan subsidi itu akibat ketirisan sering berlaku.
-- BERNAMA
#Armizan Mohd Ali #Sabah dan Sarawak #diesel #subsidi
;