Tiga faktor boleh gugat peluang temui tiga penyelam warga asing dengan selamat

Siti Nur Aqilla Omar
April 7, 2022 15:44 MYT
Terdapat tiga faktor yang boleh menggugat peluang bagi tiga penyelam itu ditemui selamat iaitu cuaca buruk, dehidrasi dan hipotemia. - PDRM
MERSING: Tiga penyelam warga asing yang masih hilang ketika latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing berpotensi besar ditemui dalam keadaan selamat.
Jangkaan itu dibuat berdasarkan pengalaman ketiga-tiga mangsa dalam aktiviti menyelam dan keadaan fizikal mangsa yang lengkap dengan perkakasan selaman.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superitenden Cyril Edward Nuing bagaimanapun berkata, terdapat tiga faktor yang boleh menggugat kepada peluang tiga penyelam itu ditemui selamat.
Faktor-faktor itu adalah cuaca buruk, dehidrasi dan hipotemia.
"Makluman awal siasatan kita dapati mereka ini sebenarnya (berada) di dalam laut selama 45 minit, kemudian naik ke permukaan air. Mereka membuat selaman kedua (selama) 20 minit dan naik semula ke permukaan laut.
"Namun disebabkan arus terlalu kuat, tekong bot tidak dapat melihat kesemua penyelam yang timbul kira-kira 500 meter dari kedudukan bot.
"Jurulatih ini berusaha menyelamatkan (yang lain) tetapi tiga mangsa telah terpisah. Jurulatih terapung dan lengkap dengan kelengkapan selam.
"Kalau ikut keterangan mangsa (jurulatih) tadi, ketiga-tiga mangsa berjaya timbul di permukaan laut dengan perkakasan yang ada. (Berdasarkan) pengalaman, kita percaya peluang hidup adalah amat besar," katanya.
Cyril Edward berkata, ketiga-tiga mangsa juga mempunyai pengalaman melakukan lebih 50 kali aktiviti selaman, malah mereka juga dalam kursus 'advanced open water'.
Terdahulu, warga Norway, Kristine Grodem, salah seorang daripada empat penyelam yang hilang di Mersing semalam, ditemui selamat hari ini.
Wanita berusia 35 tahun itu dibawa dengan menaiki helikopter ke Stadium Mini Mersing, jam 12.05 tengah hari tadi.
#Penyelam #Johor #Pulau Tokong Sanggol #selam skuba
;