GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 33 individu termasuk tiga doktor ortopedik di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai lebih RM2.1 juta sejak 2017.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret George Town pada Rabu terhadap semua suspek berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.

Nadratun Naim memerintahkan tiga doktor berkenaan direman selama dua hari bermula hari ini sementara seorang wanita yang juga isteri salah seorang suspek lain direman sehari.


KKM sedia bantu SPRM siasat penahanan tiga doktor kanan

Selebihnya pula direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek yang berbaju lokap SPRM berwarna oren dibawa ke Kompleks Mahkamah George Town  kira- kira jam 9 pagi tadi bagi tujuan reman.

Menurut sumber, tiga doktor berkenaan masing-masing berusia 36, 50 dan 57 tahun bertugas di Bahagian Ortopedik Hospital Seberang Jaya, Bukit Mertajam  dan hospital swasta di Butterworth.

Selain itu, 30 individu lain terdiri daripada pekerja swasta, ejen dan 'runner' sindiket ditahan SPRM dalam operasi bermula 5 pagi hingga 10 malam tadi.

Menurutnya, kebanyakan tuntutan palsu berkenaan dibuat  berkait  kecederaan Anterior Cruciate (ACL) dan  masalah tulang rawan tergelincir (Slip Disc) berjumlah RM2.1juta.

Katanya, kartel berkenaan dipercayai mula bergiat aktif menjalankan pemalsuan tuntutan berkenaan sejak  2017 hingga tahun ini.

Difahamkan tuntutan dibuat pemohon kemudian dibahagikan bersama doktor, ejen dan juga 'runner '.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan 33 individu itu terdiri daripada 19 pemohon tuntutan Perkeso , lapan ejen, tiga pegawai perubatan dan tiga 'runner' itu ditahan SPRM semalam.