Tiga ditembak mati ketika kawal keselamatan pasar malam di Songkla

Bernama
November 26, 2018 12:02 MYT
Polis turut menemui kira-kira 20 butir kelongsong peluru M-16 dan pistol di lokasi kejadian.
Dua anggota keselamatan dan seorang penolong ketua kampung mati ditembak ketika bertugas mengawal keselamatan di pasar malam Kampung Thayi, Thepa di wilayah Songkla.
Ketiga-tiga mereka ditembak ketika berada dalam sebuah pondok dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5 petang semalam (waktu tempatan).
"Empat penyerang dipercayai melarikan diri menggunakan dua motosikal. Dua laras senapang M-16 dan pistol 9mm milik mereka turut dilarikan penyerang," kata ketua Balai Polis Huai Peling Kol Suwat Cek Daud di sini.
Polis turut menemui kira-kira 20 butir kelongsong peluru M-16 dan pistol di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihak berkuasa percaya keempat-empat penyerang terbabit menyamar dengan memakai pakaian wanita sebelum bertindak melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam jarak dekat.
Siasatan diteruskan oleh pihak berkuasa.
-- BERNAMA
#Kampung Thayi #pasar malam #pengawal keselamatan #Songkla #tembak #Thepa
;