Tiga ditahan kemuka tuntutan palsu RM800,000
Astro Awani
Julai 20, 2022 16:44 MYT
Julai 20, 2022 16:44 MYT
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu kerana dipercayai mengemukakan invois palsu bagi tuntutan bernilai lebih RM800,000 kepada pejabat sebuah kementerian pada tahun 2019.
Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, mereka dipercayai telah mengemukakan invois palsu berkaitan tuntutan bayaran kos pengangkutan bagi projek untuk tempoh tiga bulan iaitu dari September hingga November 2019.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek berkenaan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah dalam tempoh terdekat.