Tiga direman bantu siasatan pelatih PLKN meninggal dunia

Astro Awani
September 25, 2013 08:20 MYT
Polis menahan reman tiga suspek selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelatih PLKN di kem Pinggiran Pelangi.
Ketiga-tiga suspek yang juga pelatih di kem berkenaan ditahan selepas siasatan awal mendapati mereka terbabit dalam pergaduhan dengan mangsa.
Dalam kejadian pada Isnin, Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18 tahun, ditemui tidak sedarkan diri di bilik air kem berkenaan dalam keadaan mulut berbuih sebelum di sahkan mati di Hospital Muadzam Shah.
Dalam pada itu ibu kepada mangsa, Zuraida Zainudin mengesa pihak berkuasa menyiasat punca sebenar kematian.
Dia mendakwa terdapat kesan mencurigakan dan tidak menolak kemungkinan anaknya menjadi mangsa dera.
Katanya, kesan lebam di kedua belah telinga dan mata kanan mangsa itu dikesan semasa melihat jenazah anaknya di bilik mayat hospital.
Justeru beliau berharap pihak polis dapat membuat siasatan terperinci punca sebenar kematian kerana pihak hospital memaklumkan punca kematian akibat sawan.
#pelatih maut #pergaduhan #plkn
;