Tiga daerah di Perak dilanda banjir kilat, 150 mangsa dipindah ke enam PPS

Bernama
Mei 17, 2024 10:00 MYT
Anggota keselamatan membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS susulan hujan lebat di beberapa kawasan di Perak malam tadi. - Foto JBPM Perak.
IPOH: Sejumlah 150 mangsa dari 52 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat melanda tiga daerah di Perak, tengah malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 pagi ini, empat PPS dibuka di daerah Taiping iaitu di Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Orang Ramai Jebong Kiri, Masjid Al-Wusta Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Termelok, menempatkan 78 mangsa dari 30 keluarga dari Kg Sungai Baru, Kg Dato Sagor, Kg Senduk Seberang, Kg Batu 8, Kg Temerlok dan Kg Nibong.
"Sebuah PPS dibuka di daerah Hilir Perak iaitu di Dewan Serbaguna Padang Tembak, menempatkan 42 mangsa dari 10 keluarga dari Bt 9 Jalan Changkat Jong.
"Di daerah Kuala Kangsar, satu PPS dibuka di SK Periang, yang menempatkan 30 mangsa dari 12 keluarga dari Kg Periang," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan banjir kilat berlaku akibat hujan lebat berterusan malam tadi, menyebabkan paras air di dua sungai iaitu Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar, naik dan berada pada paras berjaga-jaga.
-- BERNAMA
#banjir #hujan lebat #PPS #paras air sungai naik
;