Tiga cedera, bas ekspres bawa warga Singapura ke Cameron Highlands terbabas
Abd Razak Mohd Ali
Mac 15, 2025 12:05 MYT
Mac 15, 2025 12:05 MYT
Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands terlibat dalam kemalangan berhampiran Dewan MRA, Pos Slim, Jalan Simpang Pulai, di Ipoh pagi ini, mengakibatkan tiga mangsa cedera. - Foto JBPM Perak
IPOH: Tiga cedera, termasuk seorang patah kaki, apabila sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands terbabas ke bahu jalan, berhampiran Dewan MRA, Pos Slim, Jalan Simpang Pulai, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.30 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas ekspress yang membawa penumpang seramai 23 orang warga Singapura, telah terbabas ke bahu jalan.
“Terdapat seorang lelaki iaitu pemandu bas mengalami kecederaan patah kaki, telah dibawa keluar dari bas oleh orang awam, dan dua orang penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, ketua operasi melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan mangsa.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat sepenuhnya jam 6.41 pagi.