Tiga cabaran utama perlu ditambah baik segera bagi pengurusan bencana - PM

Hasimi Muhamad
Januari 20, 2022 12:10 MYT
Kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama yang perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik dengan segera bagi pengurusan bencana negara. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama yang perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik dengan segera bagi pengurusan bencana negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia termasuk Pemahaman Terhadap Arahan Majlis Keselamatan No. 20, yang disifatkan masih terdapat kelemahan dari segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri, daerah, badan berkanun serta swasta.
Pemahaman tersebut katanya berkaitan tanggungjawab pihak tersebut di bawah Arahan MKN No. 20 pada peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana.
Selain itu, Perdana Menteri berkata wujud Kelemahan Perintah Dan Kawalan, termasuk ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah sehingga menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.
"Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan kerajaan tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum.
"Struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, badan-badan bukan Kerajaan dan kerajaan tempatan. Kekangan ini menyebabkan NADMA tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah," katanya di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika penerangan berkenaan Situasi Bencana Banjir Penghujung Tahun 2021 di Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggnl Keempat di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata perkara ketiga yang perlu ditambah baik ialah Kelemahan Pengurusan Maklumat Dalam Pengurusan Bencana.
Jelas beliau, pengurusan bencana negara sangat bergantung kepada maklumat dinamik yang tepat dan cepat dari lapangan.
"Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
"Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara; dan penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsamangsa banjir masih perlu diperbaiki," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata bagi penambahbaikan, beliau telah mengarahkan agensi yang bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembangunan Fasa Ke-2 Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.
Dari segi hebahan kepada orang awam pula, Ismail Sabri berkata kaedah-kaedah terbaik dan terpantas untuk mengeluarkan amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir perlu ditambah baik.
"Misalnya menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.
"Penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial," katanya.
#Dewan Rakyat #ismail sabri yaakob #Banjir 2021 #bencana
;