'Tiga cabaran besar untuk Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu' - Tan Sri Abu Kassim
Wan Syamsul Amly
Julai 29, 2016 19:36 MYT
Julai 29, 2016 19:36 MYT
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berdepan tiga cabaran besar apabila menggalas jawatan itu kelak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, ia termasuk meneruskan perjuangan transformasi bagi memastikan SPRM benar-benar bebas serta bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa kini serta masa depan.
Tegasnya, kegagalan untuk melakukan perubahan yang dimaksudkan itu akan menjadikan SPRM ketinggalan di belakang.
"Ia termasuk peruntukan liabiliti korporat, pindaan kepada Perlembagaan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pindaan undang-undang yang dapat memastikan undang-undang yang ada mengikuti cadangan-cadangan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC)," katanya semasa berucap pada Majlis Paluan Berundur di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021.
Tan Sri Abu Kassim akan menamatkan kontraknya dan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Turut meninggalkan SPRM, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali yang akan ditempatkan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen mulai 1 Ogos dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdull yang akan mengikuti kursus di universiti tempatan sebelum bersara wajib pada Oktober depan.
- Bangga dengan pencapaian SPRM -
Dalam pada itu, Tan Sri Abu Kassim turut menyatakan rasa bangga apabila laporan Kajian Persepsi Tindakan Pencegahan Rasuah oleh SPRM - Siri 11/2016 yang dilakukan Universiti Putra Malaysia menunjukkan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap impak tindakan SPRM.
"Ia telah meningkat kepada 76.6 peratus pada Mei 2016 berbanding dua tahun sebelum itu iaitu hanya pada 67.8 peratus.
"Kajian itu juga mendapati paras sokongan terkini masyarakat sehingga Mei lepas pada tahap 82.5 peratus berbanding 79.9 peratus pada tahun lalu," jelasnya.
Dalam pada itu,beliau turut melihat cabaran utama yang dihadapinya semasa memimpin adalah memulihkan kembali reputasi SPRM yang digubal menjadi sebuah agensi bebas.
"Saya berpesan kepada pegawai-pegawai SPRM, perkara yang paling penting ialah mengekalkan profesionalisme.
"Setiap siasatan perlu dibuat berteraskan fakta yang diperolehi dan dikumpul serta akhirnya sebarang cadangan adalah berdasarkan kepada merit kes tersebut," ujarnya.
Tan Sri Abu Kassim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010 telah terlibat dalam proses pembangunan SPRM sehingga mengangkat nama dan martabat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berkaliber.
Beliau memulakan kerjayanya dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 dan sejak itu meneruskan kerjaya 30 tahun bersama BPR, yang kemudiannya dikenali sebagai SPRM mulai 1 Januari 2009.