Tiga bulan beras tempatan tiada di pasaran

Sinar Harian
Februari 16, 2024 10:10 MYT
Beras tempatan sudah tidak memasuki pasaran sejak tiga bulan lalu. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Beberapa jenama beras putih tempatan (SST) sudah tiga bulan tidak memasuki premis pasar raya sehinggakan pelanggan terpaksa membeli beras putih import (SSI) dengan harga lebih mahal.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya terkemuka di Lembah Klang mendapati hanya kategori import mudah didapati dan dijual dengan harga sekitar RM20 bagi 5 kilogram (kg) serta RM71 untuk 10kg.
Antara jenama beras putih super import yang masih dijual adalah Birds of Paradise, Jasmine Super 5 Special, Sakura, Hayati, Merbok serta Nagasari.
Menurut eksekutif kanan pengurusan sumber manusia, Siti Sarah Abdul Rahim, 37, jenama beras putih tempatan yang sering dibelinya amat sukar didapati di pasaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Saya malas nak pusing-pusing jadi saya beli saja beras import walaupun tak biasa dengan jenama ini.
“Jenama beras putih tempatan yang kami sekeluarga makan memang tak semua tempat ada,” katanya ketika ditemui pemberita di salah sebuah pasar raya di sini pada Khamis.
Ditanya mengenai inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani, Siti Sarah mengakui harga yang ditawarkan agak berbaloi, murah dan mencukupi untuk keperluan seisi keluarga.
“Kita boleh cuba, tapi kena tengok dulu kualiti makanan ruji ini sama ada kena atau tak dengan selera pembeli,” ujarnya.
Pengusaha restoran, Mohd Haris Syafiq Hussin, 24, pula berkata, dia terpaksa datang dari Denai Alam semata-mata untuk mencari beras putih import yang lebih murah di beberapa pasar raya sekitar Shah Alam berikutan tiada beras putih tempatan.
Jelasnya, meskipun tidak terlalu menggemari beras putih tempatan dan lebih menyukai beras import wangi bagi memenuhi permintaan pelanggan, dia tetap mahu melihat keberkesanan kualiti Beras Putih Malaysia Madani yang akan diperkenalkan nanti.
“Memang sangat berbaloi untuk peniaga macam saya, apabila dah umum harga murah mungkin saya boleh cuba tapi kena lihat juga kualitinya.
“Rasa bersyukur juga lah sebab dah turun harga, namun kualiti tetap kena bagus,” katanya lagi.
Perunding hartanah, Letchumanan Perumal, 39, juga bersetuju dengan langkah yang bakal dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 1 Mac akan datang.
Ujarnya, dia kini menggunakan satu jenama beras putih import sahaja kerana sudah serasi biarpun harga meningkat saban tahun.
“Enam ahli keluarga saya dah serasi dengan beras itu sebab tak sakit badan, mahu tak mahu kena beli juga tapi kalau kerajaan perkenalkan harga siling beras RM30 untuk 10kg, memang membantu golongan B40 macam kami dan seluruh rakyat Malaysia,” ulas Letchumanan.
Sementara itu, Nur Fatehah Mazlan, 40, berkata, beberapa jenama terkenal beras putih tempatan jarang kelihatan di pasaran melainkan kategori istimewa seperti basmati.
“Sudah tiga bulan beras putih tempatan tak nampak masuk pasaran, sekarang banyak yang import sahaja.
“Tetapi pelanggan tetap beli beras putih import kerana tiada pilihan, rasanya sama cuma harga berbeza,” katanya pada Khamis.
Difahamkan, pengguna hanya dibenarkan untuk membeli empat kampit beras tempatan atau import bagi kategori 5kg dan dua kampit untuk 10kg dalam satu masa sepertimana ditetapkan pihak pengurusan pasar raya.
Pada Rabu, Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengumumkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 untuk 10kg.
Pengerusinya, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia bakal berkuat kuasa 19 Februari dan pengguna boleh mendapatkan Beras Putih Malaysia Madani di pasaran mulai 1 Mac ini.
Menurut Syed Abu Hussin Hafiz yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang, harga beras putih kampit 5kg dijual pada harga RM15.50 dan 1kg RM3.50.
Dengan pengumuman nama baharu tersebut, maka kategori SSI dan SSI dimansuhkan. - Sinar Harian
#beras tempatan #rakyat Malaysia #harga siling #golongan B40
;