Tiga bulan bawa bas tanpa lesen

Sinar Harian
Julai 7, 2024 16:30 MYT
Anggota JPJ sedang memeriksa bas yang ditahan dalam Operasi Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dekat Lebuhraya Pulau Indah pada Jumaat. -Foto Sinar Harian
KLANG: Tindakan seorang lelaki memandu sebuah bas persiaran tanpa lesen yang sah mengundang padah apabila ditahan di Lebuhraya Pulau Indah di sini pada Jumaat.
Lebih mengejutkan pemeriksaan dijalankan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu turut mendapati individu itu telah berkhidmat sebagai pemandu bas lebih tiga bulan lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, rondaan menerusi Operasi Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) sebelum itu dijalankan di sekitar lokasi berkenaan.
"Sebanyak 16 kenderaan perkhidmatan awam telah ditahan untuk pemeriksaan antaranya melibatkan enam bas persiaran, enam bas ekspres, tiga bas kilang dan sebuah bas sekolah.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat pelbagai kesalahan yang dikesan antaranya tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan pengangkutan selain kesalahan teknikal lain," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurut Azrin, pihaknya kemudian bertindak mengeluarkan saman terhadap pemandu yang dikesan melakukan kesalahan itu.
"Berdasarkan kesalahan yang dikesan kali ini merupakan satu kesalahan serius kerana melibatkan lesen memandu yang seharusnya menjadi perkara wajib bukan sahaja kepada pemandu bas malahan mana-mana pengguna di jalan raya.
"Kesalahan sebegini bukan sahaja berisiko terhadap pemandu dan penumpang malah pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Sementara itu, Azrin turut mengingatkan agar pengusaha bas terbabit perlu memainkan peranan penting dalam menentukan pemandu yang terlibat.
"Pengusaha seharusnya pastikan bas bukan sahaja dalam keadaan selamat, malah aspek melibatkan pemandu itu sendiri seharusnya dititik beratkan.
"JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan melibatkan semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan," katanya. -Sinar Harian
#JPJ #bas persiaran #tanpa lesen #Lebuhraya Pulau Indah
;